02 November 2009

Artikel Motivasi - Konsep Membina Bangunan


Pada hemat saya, kehidupan ini akan lebih efisien sekiranya kita tidak menghadapi sebarang masalah dalam menjalaninya.


Sebagai memulakan topik ini saya ingin menceritakan tentang pembinaan sesebuah bangunan. Katakanlah kita ingin membina sebuah bangunan 12 tingkat dan ia dijangka mengambil masa 12 bulan.


Dalam pembinaan bangunan tersebut kita memerlukan pelbagai elemen bermula dari tapak, pelan, pekerja, bahan mentah, modal dan sebagainya.


Bangunan itu berkemungkinan besar akan siap dalam jangkamasa yang ditetapkan sekiranya tiada masalah yang mengambil tempat. Tetapi bayangkanlah sekiranya ada masalah yang timbul semasa pembinaannya sebagai contoh kelambatan penerimaan bahan mentah, kesilapan pada pelan, masalah pekerja dan sebagainya.


Apakah yang akan anda lakukan sekiranya anda menghadapi masalah dengan pekerja sebagai contoh? Apakah yang akan anda lakukan dan berapa lamakah masa yang anda perlukan untuk mengatasi masalah ini? Katalah ada mengambil masa 1 bulan untuk mengatasinya maka bangunan anda akan menghadapi kelambatan selama jangkamasa yang sama. Bagaimana pula sekiranya anda mengambil masa 6 bulan untuk mencari pekerja yang baru. Bukankah bangunan anda akan lewat disiapkan selama 6 bulan.


Dalam lain perkataan, sekiranya dalam pembinaan bangunan tersebut terdapat sebarang masalah ia haruslah diatasi seberapa segera bagi memastikan yang bangunan tersebut dapat dibina dalam jangkamasa yang ditetapkan atau dengan sedikit penangguhan.


Bagi masalah yang boleh dijangka, kita boleh merangka pelan sokongan bagi mengatasi masalah yang bakal mendatang dan sudah pasti membolehkan masalah itu diatasi dengan mudah tanpa pembaziran masa dan kos.


Sekiranya sesuatu masalah itu tidak dapat diselesaikan maka bangunan itu akan mengambil masa yang lebih lama untuk disiapkan, menanggung kos yang lebih tinggi, mengalami kerugian atau mungkin langsung terbengkalai.


Begitu jugalah kehidupan ini. Masalah yang mendatang akan hanya membantutkan perjalanan kehidupan kita. Bagaimanakah kita menghadapinya? Ada orang yang mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikannya tetapi pada masa yang sama ada orang lain yang boleh mengatasinya dalam jangkamasa yang jauh lebih singkat.


Mereka yang kita katakan frust menonggeng kerana kecewa dalam percintaan juga akan menghabiskan masa termenung, menangis dan membuang masa hidup tanpa objektif yang tertentu. Apa akan jadi kepada bangunan yang kita bina sekiranya kita frust menonggeng selama 6 bulan? Pastinya bangunan itu juga akan menghadapi penangguhan selama jangkamasa yang sama. Akan tetapi kalau difikirkan ada orang lain di luar sana yang menghadapi masalah yang sama tetapi hanya mengambil masa 2 minggu untuk mengatasinya. Bukankah kita yang rugi? Kita rugi masa dan tenaga.


Bagaimana pula sekiranya kita menghadapi masalah kewangan? Ia juga merupakan satu masalah yang menyebabkan kita tidak dapat mencapai apa yang kita idamkan dalam kehidupan yang serba moden ini. Tanpa modal ini juga menyebabkan kita terlepas peluang untuk memajukan diri. Masalah kewangan ini juga boleh melarat membentuk masalah yang lain sebagai contoh keretakan perhubungan, penyalahgunaan dadah dan masalah sosial yang lainnya. Inilah antara masalah-masalah kehidupan yang boleh dihubungkaitkan dengan pembinaan sesebuah bangunan.


Untuk membina bangunan yang tinggi maka kita memerlukan asas yang lebih dalam dan lebih kukuh. Tanpa ilmu asas sebegini kita mungkin tak dapat menyiapkan bangunan tadi dan kalaupun ia siap ia mungkin akan mengalami kerugian dan sebagainya. Asas ini dalam kehidupan adalah ilmu pengetahuan, modal, pengalaman, pendedahan dan sebagainya. Orang yang mempunyai asas diri yang kukuh akan dipandang tinggi. Kalau kita fikirkan bolehkah kita menggantikan seorang Pengarah Syarikat yang mempunyai asas perniagaan dan pengalaman yang mendalam digantikan dengan seorang kerani. Pastinya tidak! Kerani itu berkemungkinan besar akan menyebabkan prestasi syarikat itu merosot. Begitu juga kita dapat lihat sepohon pokok yang besar dan tinggi akan mempunyai akar menjalar jauh ke dalam bumi.


Masalah yang datang diluar jangkaan pula pasti akan lebih menyulitkan tetapi walaubagaimanapun pasti ada jalan untuk mengatasinya. Sebagai contoh kita telahpun membina 10 tingkat bangunan tersebut dan tanpa disangka-sangka pada satu hari ribut taufan telah menyebabkan 5 tingkat bangunan yang kita bina itu runtuh. Kita pula tak punya pelan sokongan bagi mengatasi masalah ini. Jadi, apa yang boleh kita lakukan pada masa itu?


Kita mungkin terpaksa mencari konsultan yang tahu atau pernah melalui permasalahan sebegini bagi memberikan khidmat nasihatnya tentang masalah yang kita hadapi itu. Dengan cara ini kita tak perlu bersusah payah berfikir akan bagaimana caranya untuk mengatasi masalah tersebut kerana kita telahpuan memperolehi jalan pintas dengan menggunakan khidmat konsultan ini. Mungkin dengan melayari blog ini anda bertemu dengan artikel yang bakal membantu anda.


Di dalam kehidupan adalah lebih baik kita belajar dari dari pengalaman orang lain kerana kita tak mungkin dapat mengalami semua pengalaman itu sepanjang jangka masa hayat kita yang pendek ini. Dalam hal ini kita hidup dalam jangkamasa umur 70 tahun iaitu kira-kira 25,000 hari bukanlah satu jangkamasa yang lama. Kita juga tak perlulah membesarkan atau memanjangkan masalah yang kecil hingga adakalanya kita hilang fokus kepada matlamat yang ingin kita capai kerana ini akan hanya membuang masa dan sumber. Cubalah sedaya upaya untuk mengecilkan masalah tersebut dan selesaikannya secepat mungkin dan pastikan tumpuan matlamat kita itu tidak terjejas sama sekali.


Sama seperti bangunan tadi, kalau kita efisien / cekap kemungkinan kita akan dapat menyiapkan bangunan itu dalam jangkamasa yang kurang dari 12 bulan. Dengan siapnya bangunan tersebut maka bolehlah kita mulakan membina bangunan yang lain iaitu merangka objektif yang baru dan kemudian berusaha untuk mencapainya.


Dalam lain perkataan, mereka yang telah membina sebuah rumahtangga, kemudiannya bolehlah menumpukan perhatian kepada pembinaan kerjaya, perniagaan ataupun yang lainnya. Mereka yang membina semua aspek kehidupan ini dengan cepat dan cekap pasti akan lebih berjaya daripada mereka yang bertangguh dan membuang masa.


Secara kesimpulannya, mengenali masalah dan mengetahui cara menangani masalah dengan cepat dan cekap pasti akan membolehkan kita menjalani kehidupan ini dengan lebih mudah dan seterusnya mencapai kejayaan dalam masa yang lebih singkat.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.