02 November 2009

Pembentukan Sifat dan Sikap - Peperangan Dalam Hati


Bagi saya sifat ini adalah satu kejadian ciptaan Allah. Ia dimasukkan ke dalam diri manusia bagi tujuan menduga.

Mari kita kategorikan sifat kejadian ciptaan Allah ini kepada kejadian positif atau mahmudah dan kejadian negatif atau mazmumah yang ada dalam hati kita.

Sifat Negatif                         Sifat Positif
                                               
Benci                                 Sayang
Cemburu                            Percaya
Marah                                Sabar
Dengki                               Sejahtera
Stress                                Tenang
Bosan                                Ikhlas
Dendam                             Redha
Tamak                               Pemurah
Gelisah                              Tenang
Sombong                           Rendah diri
Bersangka Buruk                 Baik sangka
Mengadu Domba                 Memuji

Kejadian manakah yang ada dalam hati anda ketika ini? Adakah sifat-sifat yang negatif sifatnya atau yang positif? Selalunya kejadian yang negatif suka berkawan dengan kejadian yang sama sifatnya. Maka orang tidak Redha sifatnya akan ada sifat Bosan, Marah, Ego dalam hati mereka sedangkan orang yang redha pula akan ada sifat Tenang, Ikhlas, Pemurah dan sebagainya. Kejadian-kejadian negatif ini dikenali juga dengan nama sifat Mazmumah atau sifat yang keji dan sebaliknya yang baik dikenali sebagai sifat Mahmudah, sifat yang ada pada Abu Jahal, Abu Lahab atau sifat terpuji iaitu sifat yang ada pada Nabi Muhammad S.A.W. Sifat-sifat ini jugalah yang menentukan akhlak seseorang insan itu.

Janganlah jadikan hati kita tempat pengumpulan sampah sarap. Sampah hanya berkawan dengan sampah. Bosan berkawan dengan Dengki, Iri hati, Marah dan lain-lain. Janganlah penuhkan hati dengan sampah sarap kekotoran. Ia penuh dengan toksid, kuman dan  penuh dengan penyakit. Analoginya seakan seorang yang pengotor. Bukankah penyakit senang mendekatinya. Jadi mulakanlah membersihkan diri dari semua sampah sarap ini. Tempat yang bersih dan telah dinyahkumankan maka tiada sampah mahupun sekelumit kumanpun mahu mendekatinya. Begitulah keadaan mereka yang bersih hatinya.

Para pemikir Barat sentiasa menekankan akan kepentingan berfikiran positif dengan pelbagai kaedah dan pendekatan contohnya dengan cara bercakap dan melakukan perkara-perkara yang positif sedangkan ini semua hanyalah pendekatan berbentuk luaran, facade dan tersurat. Pengisian mereka seakan menonton satu cerita wayang yang memperlihatkan jalan cerita sedangkan pengisian ini seakan mengarahkan cerita wayang tersebut di sebalik tabir. Inilah hakikat kelebihan pengisian keislaman.

Bagi mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan maka kejadian negatif ini akan diganti dengan kejadian-kejadian yang baik. Maka terjadilah peperangan antara kejadian negatif dengan kejadian positif ini di dalam hati dan adakalanya kejadian negatif akan tetap menang maka berterusanlah pemilik hati itu dengan jalan yang serong dan penuh kehinaan sedangkan bagi yang berjaya mengatasi maka kembalilah dia ke jalan yang benar dan diredhai.

Peperangan antara sifat baik dan sifat buruk di dalam hati ini umpama peperangan antara tentera putih dan tentera hitam. Panji-panji tentera putih ini akan diketuai oleh sifat Sabar dan Redha sedangkan panji-panji tentera hitam pula diketuai oleh Sifat Marah dan Benci. Peperangan ini sebenarnya sering terjadi dari masa ke semasa kerana kedua-dua bala tentera ingin menguasai hati. Berhati-hatilah, setiap kali anda dalam persimpangan dilema untuk memilih antara jalan yang baik dan buruk, antara akan dan nafsu, maka saranan saya pilihlah yang baik, yang terang, yang bersih, yang positif kerana ia akan memenangkan bala tentera putih dalam hati anda. Lambat laun mereka akan dapat menguasai hati. Menjadikan anda orang yang baik dan punya akhlak yang mulia. Percayalah.   

Pernah satu ketika saya bertemu dengan seseorang yang berada dalam keadaan yang sedemikian rupa iaitu berada dalam perjuangan untuk kembali ke pangkal jalan. Peperangan kejadian baik dengan kejadian jahat sedang berlaku di dalam hatinya. Pada masa itu katanya dia mengambil keputusan untuk meredhai keadaan tiba-tiba dia ternampak asap keluar dari dadanya. Agaknya kejadian sejuk dan baik itu telah berjaya mengalahkan dan menguasai kejadian yang jahat yang panas sifatnya di dalam hatinya. Sejuk bertemu panas waplah yang keluar. Selepas dari peristiwa itu dia nampaknya lebih tenang dalam menjalani kehidupan.

Jadi mungkin dalam hati kita juga selalu berlakunya peperangan antara kedua-dua kejadian ini. Dalam kes yang baik menang maka kebaikanlah yang bakal diterima oleh pemilik hati tersebut namun kalau kejadian baik kalah bagaimana pula? Maka teruslah kita berada dalam keadaan yang huru hara, tertekan, resah gelisah dan sebagainya.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.