09 November 2009

Konsep Keberkatan

Keberkatan amat penting bagi memastikan segala apa jua yang kita lakukan diberkati Allah Taala. Tanpanya amat sukar untuk kita mencapai kejayaan mahupun kebahagiaan. Keberkatan bolehlah kita gambarkan seperti ini. Andaikan anda diikat pada satu kerusi di kedua-dua tangan, kedua-dua kaki, leher dan pinggang dan katalah kejayaan itu letaknya tiga langkah dari situ. Dapatkah anda mencapai kejayaan tersebut? Dapatkah anda mencapainya sekiranya ikatan pada tangan kanan anda dilepaskan? Kemudian ikatan sebelah tangan kiri pula dilepaskan, dapatkah anda mencapai kejayaan tersebut sedangkan leher, pinggang dan kedua kaki anda masih lagi terikat?

Saya percaya walaupun hanya tinggal satu sahaja ikatan sama ada di kaki, tangan, leher mahupun pinggang anda masih tak akan dapat mencapai kejayaan tersebut walaupun jaraknya cuma tiga langkah dari situ. Superman pun tak boleh terbang kalau kakinya dipasak pada bumi.

Jadi, kita kita kena pastikan yang kita tidak terikat di mana-mana bahagian dengan ini kita dapat bergerak bebas bagi mencapai kejayaan.

Biar saya bagi contoh, dewasa ini ramai yang berkahwin kemudiannya hidup bersama dengan berkongsi hal kewangan. Malangnya tanpa kita sedari rezeki kita adalah rezeki keluarga tetapi rezeki isteri adalah rezeki isteri dan bukannya rezeki keluarga. Kalau kita menggunakan hak isteri ini dan sekiranya kita mendapat keizinan darinya maka ini tak menjadi masalah tetapi sekiranya kita menggunakan tanpa izin maka terikatlah salah satu kaki kita. Cukuplah sekadar isteri kita merungut kerana terpaksa membeli beras menggunakan duitnya. Ia boleh menjadikan beras yang dibelinya tadi tidak halal untuk kita makan. Keikhlasan yang berterusan bukannya prinsip yang ada dalam diri semua orang.

Begitu juga sekiranya kita makan dari sumber yang haram, makanan yang haram,  kita derhaka atau tidak mendapat restu dari kedua orang tua kita, kita mengumpat / memfitnah / menganiaya orang dan mereka tidak memaafkan kita dan sebagainya. Semua ini menjadi ikatan-ikatan yang mungkin menyebabkan sukar bagi kita untuk mencapai kejayaan atau ia mungkin menyebabkan kita ditimpa masalah tak sudah-sudah. Yelah, mungkin doa-doa orang yang pernah kita aniaya itu dimakbulkan siapa tahu?

Mungkin inilah sebabnya bila Hari Raya Aidilfitri menjelma kita meminta maaf zahir dan batin, meminta menghalalkan makan dan minum selama setahun bertujuan untuk melepaskan kita dari ikatan-ikatan sebegini. Ambillah peluang ini dengan sepenuhnya dengan meminta maaf atas segala kesalahan dan meleraikan ikatan atas perkara-perkara yang tidak dihalalkan oleh mereka di sekeliling kita selama setahun yang sebelumnya. Kita kembalikan diri kita kepada fitrah yang bersih dan suci bebas dari dosa dan noda.

Itu semua ikatan luaran, lebih teruk lagi kalau ikatan itu berada dalam diri kita sendiri. Sikap tak percaya kepada diri, kurang keyakinan, mengalah sebelum berjuang dan sebagainya merupakan ikatan yang menyebabkan kita tak dapat mencapai kecemerlangan dan mengeluarkan potensi diri yang sebenar.

Oleh itu kita mesti pastikan yang diri kita bebas dari semua ikatan ini. Kita mestilah peka terhadap semua ini bagi mengelakkan ikatan yang tak perlu yang akan hanya menarik kita ke belakang.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Ada banyak artikel motivasi era baru. Percuma!.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.