01 November 2009

TITIK-TITIK ILMU

Bismillah...


Anas R.A. berkata ada 7 pahala yang akan tetap diterima oleh seseorang itu apabila ia mati kelak ;


- Orang yang mendirikan masjid selagi masjid itu terus digunakan oleh orang ramai sebagai tempat ibadah.
- Orang yang mengalirkan air sungai selagi mana orang tatap menggunakannya.
- Orang yang menulis mushaf / buku selagi masih ada yang membacanya.
- Orang yang menggali perigi selagi perigi itu masih ada yang memanfaatkannya.
- Orang yang menanam pokok buah-buahan selagi pokok itu masih lagi ada yang mamakan buahnya sama ada manusia mahupun binatang.
- Orang yang mengajarkan ilmu selagi ilmu itu diamalkan oleh mereka yang memplelajarinya.
- Orang yang meninggalkan anak yang soleh. Anak itu sentiasa mendoakan kedua orang tuanya.


Kemudian Rasullullah SAW pula ada bersabda, apabila mati anak Adam itu maka terputuslah semua amal ibadatnya kecuali 3 perkara iaitu ;


- Sedekah Jariah
- Ilmu yang digunakan dan dimanfaatkan oleh pengamalnya
- Anak yang soleh yang tidak lupa mendoakan ibubapanya.


Jadi kalau kita lihat di sini, membina masjid, menggali perigi, menanam pokok buah-buahan, mengalirkan air sungai termasuk dalam rangkuman ibadat sedekah amal jariah sedangkan menulis mushaf dan menyampaikan ilmu adalah termasuk dalam rangkuman ilmu yang dimanfaatkan. Seterusnya anak yang soleh yang mendoakan kedua orang tuanya.


Kalau kita lihat rangkuman ini sebenarnya kita boleh membuat kesimpulan berikut. Semua ibadat di atas sebenarnya punya satu persamaan. Ia bertujuan untuk menyebarkan syiar Islam. Sedekah amal jariah adalah dalam bentuk kewangan, binaan dan lainnya yang bersifat fizikal. Ilmu pula adalah penyampaian dakwah dengan tujuan yang sama. Seterusnya anak yang soleh. Untuk menjadi seorang yang soleh pastinya kita juga perlu melakukan sedekah amal jariah, menyampaikan ilmu dan mendidik anak kita menjadi anak yang soleh juga disamping mendoakan orang tua kita.


Dalam ertikata lain semua amalan ini sebenarnya bertujuan untuk menyebarkan Islam di mukabumi. Kereta mewah, rumah yang besar, harta yang banyak tak dapat membantu kita bila kita mati kelak.


Disini saya ingin menekankan tentang penyampaian ilmu. Kita semua biasa mendengar ungkapan ini; Sabda Rasullullah SAW, sampaikanlah walau sepotong ayat.


Apa bezanya menyampaikan ilmu dengan menulis buku, bukankah secara prinsipnya ia sama? Kedua-duanya bertujuan menyampaikan ilmu juga.


Bagi saya begini analoginya. Apabila kita bertemu dengan seseorang dan kita menyampaikan satu ayat maka ia seakan menyampaikan satu titik. Kemudian orang itu membaca satu artikel dia mendapat satu titik lagi, seterusnya dia terus-terusan mendapat satu atau beberapa titik lagi bila pergi ke masjid mendengar ceramah ugama, menonton televisyen, melayari internet, bertemu dengan kawan dan sebagainya.


Tiitik-titik yang bersepah yang memasuki diri ini akhirnya akan dapat dicantumkan dan menjadi satu gambaran yang memberi kefahaman yang menyeluruh tentang sesuatu isu dalam kehidupan ini. Ia sama seperti semasa kecil kita menjalankan aktiviti connect the dots dalam buku dan selepas disambungkan maka kita akan nampak gambar kangaroo, burung, arnab, buku, botol, cawan dan sebagainya.


Kesimpulannya di sini ialah sampaikanlah walaupun satu ilmu bila kita bertemu dengan sesorang itu kerana kita tak tahu mungkin satu ilmu itu merupakan titik penyambung yang akan memberi kefahaman kepada orang itu. Kalau tidakpun titik-titik itu lambat laun pasti akan bersambung dan memberikan kesedaran kepadanya. Pada masa yang sama kita harus bersikap terbuka untuk menerima titik-titik pengisian ilmu itu dari mana-mana arah sekalipun.


Lagi banyak ilmu yang masuk dalam diri seseorang itu maka semakin mudahlah dia akan faham apa-apa aspek yang dibicarakan. Kefahaman yang semakin banyak ini kemudian boleh disusun dengan baik dan mengikut tertib untuk disampaikan dalam bentuk penulisan buku. Ia seakan meletakkan nombor pada titik-titik ini, kemudiannya disambungkan untuk memberikan gambaran kefahaman yang jelas kepada pembacanya.


Seperti yang saya katakan penulis seumpama periuk yang terbuka dan senantiasa menunggu untuk diisi. Isi yang ada kemudiannya dimasukkan perencah dan dijadikan gulai untuk dimakan ramai. Sedap atau tidak, terpulang kepada orang yang memakannya. Nak tanya. Sedap tak blog ni? Kalau tak sedap nampaknya masih ada perencah yang kuranglah tu. Mana nak cari jintan manis ni.


Apapun dalam penyampaian, masa adalah terhad tetapi dalam penulisan kita punya masa yang panjang baik untuk menulis mahupun untuk membaca. Dalam penyampaian hanya beberapa titik yang dapat disampaikan itupun dalam keadaan yang tidak tersusun berdasarkan topik yang disampaikan tetapi dalam penulisan, kita boleh menyampaikan keseluruhan cerita dan gambaran untuk memberikan kefahaman. Inilah bezanya.


Lebih baik lagi setelah membaca buku bertanyalah akan perkara-perkara yang tidak jelas semoga ia akan dapat dijelaskan lagi. Perhubungan dua hala adalah yang terbaik dan paling berkesan dalam penerapan nilai diri. Jadi, jangan segan untuk bertanya bagi tujuan penjelasan, InsyaAllah kalau ilmu itu ada dalam diri saya maka pasti saya akan menjawabnya.


Dalam blog ini pula terdapat banyak titik-titik ilmu dan pengetahuan yang bersepah. Sebenarnya saya boleh menyusunnya tetapi atas masalah-masalah teknikal ia berterabur. Tak kesahlah tu kerana kalau anda terus-terusan datang ke sini dan membacanya InsyaAllah saya yakin anda pasti akan dapat menyambungnya bagi mendapatkan gambaran kehidupan yang lebih besar dan jitu. Adapun anda mungkin akan dapat dua perkara dari blog ini iaitu :


Pertamanya titik-titik yang diperlukan bagi melengkapkan ilmu dan pengetahuan yang telah sedia ada dalam diri anda atau
Keduanya anda mungkin akan dapat gambaran kehidupan secara keseluruhan. InsyaAllah.


Kesimpulannya sampaikanlah ilmu Allah yang benar walaupun satu ayat. Sesungguhnya yang baik dari Allah yang Maha Mengetahui.


Sekian dulu. Take good care. Saya sayang anda semua.


Ikhlas,


Faizal Yusup

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.