01 November 2009

Tip Menangani Masalah - Bawa Batu Di Bahu

Bawa Batu di Bahu

Bayangkan, andaikata setiap kali kita tidak memaafkan seseorang dalam hidup ini, ia umpama memasukkan seketul ke dalam guni yang kemudiannya kita pikul. Maka setiap kali kita tidak memaafkan orang maka bertambahlah sebiji batu di dalam guni yang kita pikul. Maka semakin lama semakin beratlah bahu kita untuk memikulnya sepanjang hidup kita.

Biarlah apapun yang orang lain lakukan pada kita saya rasa cara terbaik untuk meringankan beban itu ialah untuk memaafkan mereka. Dengan berbuat demikian ianya seakan mengeluarkan sebiji batu demi sebiji batu dari dalam guni itu hinggalah tiada lagi batu yang tinggal di dalamnya. Mereka yang hidup tanpa guni yang berat di bahu akan dapat menjalani kehidupan yang tenang dan mudah kalau dibandingkan dengan mereka yang sebaliknya.

Memaafkan dan melupakan kesalahan yang dilakukan seseorang terhadap kita itu sebenarnya merupakan sesuatu yang berat untuk dilakukan.

Fikirlah siapa yang kita pernah marah dan dendami selama ini dan mungkin inilah penyebab kenapa kita tak dapat menjalankan kehidupan seharian dengan lancar.

Batu ini mungkin berbentuk kebencian, hasad dengki, iri hati dan sebagainya. Ada yang memikul batu yang banyak kerana terlalu mudah membenci orang lain dan tidak mahu memaafkan orang lain yang bersalah kepadanya. Batu sebegini boleh dikeluarkan dengan seikhlas hati memaafkan orang yang menganiaya kita walaupun peristiwa itu telah berlalu sejak sekian lama.  Percayalah, walaupun ia sukar tetapi dengan berbuat demikian anda seakan dapat merasakan satu macam kelegaan yang tidak dapat digambarkan dari dalam diri anda sendiri.

Inilah yang boleh kita lakukan sekiranya ia melibatkan perhubungan dengan orang lain tetapi pada masa yang sama ada sebiji batu penting yang perlu juga kita titik beratkan iaitu batu yang berkenaan diri kita sendiri. Ada diantara kita yang boleh memaafkan orang lain tetapi tak dapat memaafkan diri sendiri atas apa yang telah berlaku.

Misalan yang boleh saya buat dari isu ini ialah, Ani telah terlanjur atas pujuk rayu Man seorang jejaka yang tidak bertanggungjawab. Pada masa itu Ani terlalu mentah, tidak matang dan tidak dapat menilai buruk baik sesuatu tindakan yang hendak diambil. Ani tidak mendengar nasihat ibubapanya kerana rasa cintanya yang mendalam pada Man dan dia mahu sehidup semati dengan Man.

Habis madu sepah dibuang.

Dalam kes ini, batu yang pertama ialah Ani membenci dan tidak memaafkan Man atas apa yang telah terjadi. Dia juga tidak mempercayai mana-mana lelaki lagi selepas peristiwa itu. Adakalanya dia mengatakan yang dia benci kepada semua lelaki dalam dunia ini dan mahu membalas dendam terhadap semua lelaki yang dia temui selepas itu. Hatinya telah tertutup untuk bercinta lagi.

Batu yang kedua ialah Ani tidak dapat memaafkan dirinya sendiri. Dia merasakan yang dirinya hina, kotor, jijik dan sebagainya. Pada perasaannya semua orang boleh nampak kekotoran yang terpalit pada dirinya. Pada yang sama dia rasa teramat bersalah kepada keluarganya atas kebodohan dirinya sendiri.

Batu yang kedua ini merupakan satu batu yang amat berat untuk Ani pikul sepanjang hidupnya. Ia juga menyebabkan Ani serba salah untuk menjalinkan perhubungan dengan lelaki lain. Pada masa yang sama dia takut untuk menerima lamaran dari seorang lelaki yang ingin mengambilnya sebagai isteri kerana dihantui oleh kisah silamnya.

Dosa berzina memang berat tetapi dosa meninggalkan sembahyang dengan sengaja sebenarnya jauh lebih berat.

Oleh itu, buanglah batu-batu sebegini dari dalam diri anda dengan memaafkan orang lain mahupun dengan memaafkan diri kita sendiri. Peristiwa yang berlaku tak akan berlaku sekiranya kita tahu akan akibatnya. Ia takkan berlaku kalau kita cukup matang dalam membuat timbang tara. Ia berlaku kerana kita masih muda dan mentah, kerana kita tidak tahu, kerana kita mengikut perasaan dan sebagainya. Jadi rawatlah diri anda dengan kaedah memaafkan diri anda sendiri atas alasan-alasan ini.

Bayangkanlah kita telah meninggal dunia dan sedang berada di dalam kubur sejurus sebelum dikebumikan. Kita nampak semua orang saudara mara serta sahabat handai di atas sana. Kita terdengar saudara A mengatakan yang kita seorang yang jahat, si B pula mengatakan yang kita berhutang dengannya, si C tidak memaafkan kita, si D mengatakan yang kita celupar dan pelbagai cemuhan lagi. Adakah ini yang kita mahu?

Atau adakah kita mahu semua orang mengatakan yang kita merupakan seorang insan yang baik, suka membantu, pemaaf dan tak pernah menyakitkan hati orang lain. Saya percaya kalau boleh semua orang mahukan keadaan sebegini.

Sesuatu prinsip yang telah dikenalpasti untuk diterapkan itu harus melalui proses nilai perlaksanaan yang berterusan dengan melalui proses pengulangan dan pengukuhan sebelum ia sebati dalam diri. Bukan mudah untuk menerapkan prinsip bercakap benar, pemaaf, rendah hati, jujur, pemurah, ikhlas, menghargai masa dan sebagainya dalam kehidupan seharian.

Mari kita buat tahap-tahap nilai pemaaf ini ; 

- Semua kesalahan dimaafkan  
- Hanya boleh maafkan kesalahan tertentu 
- Orang yang bersalah mesti meminta maaf
- Orang yang bersalah mesti dibalas dendam
- Tak mahu memaafkan seumur hidup.

    Adakah kita;
    Pemaaf 100 peratus / memaafkan selepas sehari / seminggu / sebulan / setahun / seumur hidup?

    Anda masih ada orang yang belum dimaafkan? Berapa ramai? Berapa lama? Ini menunjukkan yang anda sebenarnya bukan seorang yang pemaaf tetapi sebenarnya seorang PENDENDAM! Maafkanlah sahaja kerana mereka tak tahu, Nabi SAW ampunkan umat dan ALLAH S.W.T Maha Pengampun. Apa hak kita untuk tidak memaafkan? Begini jugalah perihalnya dengan nilai sikap-sikap yang lainnya.

    Jadi, mulalah memaafkan orang lain dan tak perlulah kita benci membenci sesama insan. Memaafkan adalah sifat positif sedangkan membenci adalah sifat negatif yang boleh membelenggu diri. Mereka yang tak mahu memaafkan ini sebenarnya mengikut emosi perasaan atau mengikut nafsu. Akalnya gagal mengalahkan nafsu walaupun fakta-fakta ini telah diberi.

    Dalam banyak kes yang pernah saya kendalikan mereka yang berjaya memaafkan dengan seikhlas hati ini akan mendapat ketenangan, kelegaan dan beban yang dibawa selama ini hilang begitu sahaja lantas badan dan fikiran menjadi ringan. Percayalah. Lepaskanlah mereka. Maafkanlah mereka.


    Saya yakin mereka yang pernah melalui peristiwa sebegini akan bersetuju dengan saya.


    Kesimpulannya : Antara rawatan diri yang terbaik ialah untuk memaafkan orang lain juga memaafkan diri sendiri.

    Fikir-fikirkanlah..

    Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

    Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

    Ikhlas dari,

    Faizal Yusup

    ' style='padding: 0; border: none;'/>

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.