20 November 2009
Keputusan Peperiksaan
Setiap keputusan peperiksaan membawa pelbagai implikasi kepada ibubapa, anak-anak juga para guru.
Bila si anak lulus dengan cemerlang dalam satu-satu peperiksaan maka berbanggalah kesemua mereka lantas diceritakanlah kepada semua orang namun demikian bagaimana pula bila anak itu gagal?
Ada yang menerimanya dengan tenang, ada yang kecewa dan bersedih, ada yang menyesal dan ada juga yang tak rasa apa-apa. Mereka tenang kerana mereka tahu selepas semua usaha dilakukan itulah kemampuan yang dapat mereka capai. Mereka yang kecewa pula adalah kerana mereka merasakan yang mereka telah berusaha selagi daya namun keputusannya tidaklah sepertimana yang dijangkakan. Mereka yang menyesal pula adalah mereka yang tidak berusaha bersungguh-sungguh dan merasakan yang mereka boleh melakukan yang lebih baik namun demikian mereka yang tenang pula adalah mereka yang redha dengan keadaan atau mungkin juga mereka yang langsung tak peduli dan merasakan yang peperiksaan itu tak penting bagi mereka.
Siapakah yang bersalah? Ibubapanya cemerlang tetapi anaknya terkandas. Salah ibubapa? Guru? Atau Anak itu sendiri?
Apapun di sini saya akan cuba mengupas mengenai perkara ini.
Sebenarnya perkara utama kejayaan seseorang anak itu dalam peperiksaan ialah SIKAP anak itu sendiri. Semua murid cemerlang yang diwawancara akan berkata mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran di kelas, tahu membahagikan masa, rajin mengulangkaji dan sebagainya.
Dalam hal ini, ada anak yang beruntung kerana mereka mendapat sokongan ibubapa yang mengambil berat mengenai pelajaran mereka. Sanggup duduk belajar dan mengajar anak-anaknya saban hari dan saban minggu dan ini ditambah pula dengan SIKAP anak yang gigih itu maka kejayaan akan menjadi milik mereka.
Begitupun ada ibubapa yang tak begitu mengambil berat, sibuk bekerja atau anak yang tiada ibubapa dan sebagainya namun demikian SIKAP anak yang RAJIN dan GIGIH itu tetap membawa kecemerlangan. Mereka dikurniakan anak yang cerdas, yang gigih dan punya program belajar dalam diri yang mana mereka boleh belajar tanpa disuruh.
Apapun sekiranya anak itu tidak punya SIKAP yang rajin, gigih dan tak punya program belajar dalam diri maka ini merupakan satu masalah bagi ibubapa. Ini kerana penerapan nilai dan program ini ke dalam diri anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Ada ibubapa yang meletakkan segala usaha mendidik anak-anak ini namun SIKAP anak yang pemalas ini akan menyukarkan. Ia mungkin akan dapat menaikkan sedikit peratusannya namun kemungkinan untuk mendapatkan kecemerlangan itu akan menjadi sukar.
Lebih teruk lagi, sudahlah anak itu pemalas kemudian ditambah pula dengan sikap sambil lewa ibubapa maka kegagalanlah yang bakal diterima anaknya itu.
Oleh itu bagi ibubapa yang mengambil berat, prihatin terhadap perkembangan pelajaran anak-anaknya, mengambil langkah-langkah duduk menjadi tutor anak-anaknya, menghantar ke tuisyen, menyediakan prasarana dan buku-buku ulangkaji, berdoa, memberikan air penerang hati atau dalam ertikata lain telah meletakkan effort atau usaha yang terbaik, janganlah merasa kecewa. Anda telah melakukan yang terbaik. Ini kerana yang lainnya terletak di dalam tangan anak itu sendiri. Kita tak boleh masuk ke dalam dewan peperiksaan untuk membantu mereka dan hidayah dalam hati untuk menjadikan seseorang anak punya program kegigihan dalam diri juga adalah hakmilik Allah. Dia akan berikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!
Ditulis oleh
faizal yusup
pada
9:59 PTG
Labels:
Segmen Motivasi Keibubapaan,
Segmen Motivasi Pelajar
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.