01 November 2009

Matlamat Hidup

“ Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKU ”

Surah Adz-Zariyat ayat 56

Dari segi individu, sebagai makhluk bernama manusia kita sepatutnya mempunyai matlamat untuk kita capai sebagai seorang insan. Kalau kita hidup bermatlamat maka pasti kita tahu kemanakah destinasi yang hendak kita tuju.

Katalah matlamat kita ialah untuk ke KLCC dari Petaling Jaya. Maka salah satu jalan yang boleh kita ambil ialah melalui Lebuhraya Persekutuan, menuju masuk ke Bus Stand Kelang melalui Masjid Negara dan seterusnya masuk ke Jalan Tun Perak sebelum bertukar masuk ke Jalan Raja Chulan. Dari Jalan Raja Chulan kita masuk pula ke Jalan Sultan Ismail sebelum memasuki Jalan Pinang untuk tiba di KLCC.

Inilah jalan yang akan diambil oleh orang yang bermatlamatkan KLCC. Apakah jadi bagi seorang yang lain yang tak tahu apakah matlamat hidupnya? Bukankah dia bakal menjadi orang gila yang berkeliaran tanpa arah tujuan yang tentu?

Dalam buku Keluar Dari Tempurung pertama saya telahpun memperkenalkan topik ini dengan membezakannya dengan cita-cita. Cita-cita ialah impian yang ingin kita capai dalam kehidupan. Kita mahu jadi jutawan, doktor, jurutera, penyanyi terkenal dan sebagainya. Maka kita pun berusahalah ke arah merealisasikan impian tersebut. Persoalannya andaikata impian kita itu tercapai maka kemanakah arah tuju kita seterusnya?

Matlamat pula adalah impian seorang insan sehinggalah hari kematiannya. Bagi seorang yang fokus pada matlamatnya dia akan selalu nampak KLCC dalam pandangannya walaupun dalam jalan yang dilaluinya penuh dengan permasalahan, berlubang, tersasar jauh dan sebagainya. Hatinya akan selalu tetap pada matlamat yang ingin dia tujui.

Dalam hal ini katalah matlamat itu untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ini maka semua yang kita lakukan pasti akan menjurus kepada matlamat ini untuk sampai ke destinasi. Ada juga yang bermatlamat ingin ke syurga malangnya mengambil jalan menuju ke neraka.

Malangnya kebanyakan kita hidup tanpa matlamat yang jitu. Tanpa mengetahui matlamat ini maka amat mudah untuk kita mengambil pelbagai lencongan yang banyak tersedia di depan mata. Kita bakal berjumpa dengan lencongan arak, dadah, maksiat, judi, syirik dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan kita sesat dalam kehidupan. Kita sendiri tak tahu kita berada di mana dan kemanakah arah tuju kita seterusnya kerana kita tak punya matlamat sebagai seorang insan.

Kalau dibuat perumpamaan bolehkah dikatakan yang kita seakan bermain bolasepak di atas padang tanpa pintu gol. Kita bakal jadi pengembara di atas mukabumi tanpa arah tuju. Mengembara dan terus mengembara hinggalah hari kita mati kelak.

“Jangan buat matlamat dan sasaran yang kabur”
Lewis Walker

Oleh itu sentiasa ingatlah yang matlamat kehidupan manusia ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah Taala. Kita sebenarnya berada dalam perjalanan untuk menuju kematian dan menuju ke alam akhirat. Kita hanya singgah di muka bumi ini buat seketika dan tak lama selepas itu kita akan meninggalkannya pergi.

Matlamat ibadah ini ada saya terangkan dalam artikel bertajuk Ibadah Manusia dalam blog ini.

Fikir-fikirkanlah.

Ikhlas,

Faizal Yusup.

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.