Seorang pujangga pernah berkata,
“Jangan bagi nasihat yang kita sendiri tak pakai”.
Kalau dalam Islam topik ini mungkin dinamakan “muhasabah” diri, kalau orang melayu kata cermin-cermin diri, kalau orang putih kata “self reflection”. Apapun saya namakan topik ini “aku menasihati aku”.
Saya percaya seseorang yang berjaya dalam hidupnya akan selalu berfikiran positif dalam menjalani kehidupan. Maka untuk berfikiran positif saya percaya dia akan dari masa ke semasa menasihati dirinya sendiri. Ini kerana menasihati diri sendiri adalah jauh lebih senang dari menasihati orang lain. Kalau kita nak menasihati orang lain kita perlu tahu apakah masalah yang dia hadapi dan selalunya input yang diberikan kepada kita tidak lengkap sedangkan kita kenal diri kita sendiri di luar dan dalam.
Orang lain selalunya akan menyembunyikan sesetengah perkara sebagai contoh yang melibatkan maruah, yang memalukan dan sebagainya. Ianya lebih mudah menasihati diri sendiri kerana kita tahu apakah kesalahan yang pernah kita buat dan sebagainya. Saya percaya setiap kita pernah memarahkan diri kita sendiri atas kebodohan yang pernah kita lakukan dan kalau boleh dikembalikan masa saya percaya ada diantara kita yang akan mengambil tindakan yang berbeza dari tindakan yang kita ambil dahulu.
Kita mungkin akan berkata “kalau aku tahu pasti aku akan tak buat begitu...”
Sebagai contoh Abu mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tetapi tidak berbuat demikian kerana telah seronok makan gaji sebagai seorang kerani. 10 tahun berlalu maka ada kemungkinan timbul penyesalan pada Abu kerana dia masih lagi bekerja di tempat dan jawatan yang sama.
Maka kemungkinan Abu akan berkata “kalau aku tahu begini jadinya pasti aku akan melanjutkan pelajaran”.
Nada-nada penyesalan ini selalu kedengaran dari masa ke semasa keluar dari mulut seseorang. Kalau difikirkan, bukankah setiap tindakan yang kita ambil akan dicetuskan oleh hati kita sendiri? Dan cetusan itu pula terbahagi kepada cetusan positif dan cetusan negatif.
Cuba kita ambil senario berikut sebagai contoh :
Kita sedang memandu di lebuh raya dalam kesesakan lalau lintas, tiba-tiba sebuah kereta menggunakan lorong kecemasan cuba memintas di hadapan kita. Apakah yang akan kita cetuskan di dalam hati?
Cetusan Positif :
“Agaknya dia nak cepat, ada masalah kot?”.
Lantas bertindak membiarkan kereta tersebut memintas dan berlalu.
Atau,
Cetusan Negatif :
“Celaka punya pemandu! Tak tahu ikut peraturan..” dengan nada marah lalu bertindak menghimpit tidak membenarkan kereta tersebut memintas.
Cetusan positif tersebut tak akan membawa apa-apa kemudaratan tetapi cetusan serta tindakan negatif sebegini sebenarnya lama-kelamaan boleh mengundang kepada tekanan jiwa sekiranya tidak dibendung. Dewasa ini dalam kehidupan moden tekanan boleh datang dari pelbagai sudut dan tekanan-tekanan ini sebenarnya boleh memudaratkan diri. Kaedah serta teknik mengatasi tekanan sebegini hendaklah dicari dan dipelajari sebelum terlambat. Ini kerana kita melalui kehidupan hanya sekali dan dalam menjalani kita seakan melakukan “trial and error” atau cuba dan lihat. Kita cuba dan lihat adakah jalan yang kita pilih itu betul atau salah. Kalau salah kita cuba dengan pendekatan yang lain pula. Lainlah kalau kita dapat buat “rehearsal” atau latihan terlebih dahulu dalam menjalani kehidupan. Maka kita boleh membetulkan mana yang salah. Ini tidak.
Mungkin pendekatan berikut ini boleh digunapakai. “Draft” kan dahulu nasihat tersebut, tanya orang lain yang lebih dewasa atau yang lebih tahu, perhatikan keadaan sekitaran, buat perbandingan, kajian, cuba pakai dan laksana, lihat keberkesannya. Kalau sudah pasti ia berkesan maka bolehlah kita gunakan di tempat lain. Pada masa yang sama kita akan mengukuhkan lagi nasihat tersebut dari masa ke semasa bila masa berlalu iaitu bila kesedaran atau kefahaman kita meningkat. Pun begitu apa yang berkesan untuk kita belum tentu berkesan untuk orang lain. Sama seperti ubat yang kita makan, ada ubat yang sesuai untuk kita tetapi tidak sesuai untuk orang lain.
Oleh itu sebagai kesimpulan, sekali sekala nasihatilah diri sendiri supaya melakukan yang terbaik dan melakukan apa yang kita nasihatkan pada orang lain.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
' style='padding: 0; border: none;'/>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.