24 November 2009

Jalan Ketaatan Dan Jalan Pemberontakan



Topik kali ini sebenarnya bersambung dari topik Perbezaan Orang Dunia dan Orang Akhirat yang baru lalu tapi kali ini saya menggunakan analiogi Jalan Ketaatan bagi Orang Akhirat dan Jalan Pemberontakan bagi Orang Dunia.  

Bila difikirkan tentang Jalan Ketaatan dan Jalan Pemberontakan ini, kadang-kadang kita akan bertemu dengan anak-anak yang masih belum terbuka pintu hatinya. Apa yang ditakuti ialah dia akan terus-terusan begitu dan ini mungkin boleh menyebabkan dia melencong jauh. Walaupun anak itu merupakan anak seorang imam masjid yang diterapkan dengan pelbagai pengisian ilmu ugama oleh bapanya tetapi andai hatinya tertutup maka berkemungkinan dia akan menangkis semua pengisian ini. Secara tak langsung mereka memilih jalan yang saya namakan Jalan Pemberontakan. Mereka merasakan yang semua pengisian ini hanya membelenggu diri mereka sedangkan mereka mahukan kebebasan yang bersifat keseronokan.

Bila mereka meningkat remaja jalan ini jugalah yang mereka pilih. Mereka kemudiannya berkemungkinan terjebak dengan salah satu atau semua aspek ini, maksiat, dadah, arak, judi dan sebagainya. Inilah jalan yang mereka pilih dan rasakan jalan paling baik. Hati orang sebegini sebenarnya tertutup gelap dan menyebabkan sukar untuk cahaya taufik dan hidayah Allah memasukinya. Pada ketika ini, setiap nasihat dan pengisian yang datang akan disangkal, ditangkis dan diperangi. Mereka percaya mereka berada dalam golongan yang benar dan sebaliknya mereka yang mengikuti Jalan Ketaatan merupakan golongan yang kolot dan bodoh.

Bila meningkat dewasa, maka lambat laun keadaan akan mengubah pendirian mereka. Masa terbitnya kesedaran itu tak tentu. Ada yang sedar di masa muda remaja ada juga yang lambat setelah mereka tua. Apapun kesedaran ini menyebabkan mereka ingin kembali semula ke Jalan Ketaatan. Dari sini bermulalah langkah pertama perjalanan keluar dari Jalan Pemberontakan ke arah Jalan Ketaatan.

Mereka yang berada dalam Jalan Ketaatan merupakan mereka yang patuh. Patuh kepada ibubapa dan taat kepada Allah Taala. Mereka bersikap terbuka, pendamai, mudah menerima nasihat juga pelajaran. Jalan ini bukanlah jalan yang seronok bagi seorang remaja tetapi jalan ini ada nikmatnya yang tersembunyi bagi mereka yang memahami dan melaluinya. Dalam jalan ini juga ada musibah yang melanda tetapi ia lebih berbentuk menduga untuk meningkatkan kefahaman diri.

Mereka yang berada dalam kelompok Jalan Pemberontakan selalunya mereka akan memilih kawan-kawan yang berada dalam kelompok yang sama. Mereka akan saling meng”ia”kan antara satu sama lain.

Satu hari lima sekawan mengambil dadah dan seorang mati kerana “overdose”. Peristiwa ini menginsafkan satu dan mengembalikannya semula ke Jalan Ketaatan tetapi ini tak berlaku kepada tiga yang lain. Apapun bila musibah dan dugaan terus melanda setiap ketika dari kiri dan kanan akhirnya ramai akan mengalah juga kerana kita sebagai manusia bukanlah makhluk yang kuat yang dapat menangkis semua dugaan.

Untuk keluar dari Jalan Pemberontakan ini, kita kenalah berhijrah dengan membuka hati untuk menerima input dari kawan-kawan dari kelompok Jalan Ketaatan. Ada yang mengambil masa yang lama untuk keluar dan pada masa yang sama ada juga yang lebih singkat dan dapat keluar dengan mudah. Kesedaran demi kesedaran yang timbul dalam hatinya membawanya naik ke tahap kefahaman yang lebih jitu akan aspek kehidupan hinggalah satu hari dia sampai ke destinasi Jalan Ketaatan. Mulai saat itu jalan inilah yang diikutinya dan dari sinilah dia menyampai dan memberikan iktibar kepada mereka yang masih lagi dalam Jalan Pemberontakan agar keluar dan mengikut jejak langkahnya.

Pasti ada yang membaca artikel ini dan mengatakan yang apa yang ditulis ini mengarut dan tak ada makna tetapi bukalah hati analisis kembali, lihat yang tersurat juga yang tersirat kerana ada maksud di dalamnya. Apa yang kita baca semasa berumur 20 tahun membawa makna yang berbeza bila kita membacanya sekali lagi bila kita berumur 30 tahun dan begitulah seterusnya. Semakin kita matang, kita semakin faham makna sesuatu ayat itu dengan lebih mendalam.

Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup

Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya war-warkan pada semua kengkawan anda okay? Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.