14 November 2009

Motivasi Keibubapaan

Salam buat semua,


Alhamdullillah blog ini telah melepasi 500 lawatan. Terima kasih semua atas sokongan.


Hari ini buat pertama kalinya saya membuka satu segmen baru dalam blog ini iaitu segmen motivasi keibubapaan. Saya berharap pengisian di dalamnya dapat serba sedikit membantu ibubapa di luar sana mendidik anak-anak mereka untuk menjadi anak yang cemerlang dan tinggi budi perkertinya. InsyaAllah.


Ibubapa serta keluarga merupakan elemen pertama dalam pembentukan nilai di awal kehidupan seseorang insan itu. Pengisian yang mereka lakukan selalunya bergantung kepada bagaimana mereka dibesarkan satu ketika dahulu. Kadangkala ada ibubapa yang mendidik anak-anaknya sama seperti acuan yang diajarkan oleh ibubapanya yang terdahulu.


Dahulu ibubapa mendidik anak-anak dengan cara yang garang dan penuh dengan hukuman terhadap anak yang melakukan kesalahan. Contohnya dahulu anak yang degil akan diikat pada sebatang pokok dan kemudiannya dijadikan mangsa gigitan sang kerengga. Walaupun cara didikan yang sebegini sudah jarang lagi kedengaran namun masih ramai lagi ibubapa yang menghukum anak-anak dengan cara yang tidak setimpal kalau dibandingkan dengan kesalahan yang mereka lakukan.


Ibubapa sebenarnya perlu menyiapkan diri dengan ilmu keibubapaan bagi tujuan mendidik anak dengan kaedah yang baik dan berkesan bagi memastikan perkembangan tumbesaran mereka berada dalam tahap yang seimbang. Tumbesaran yang dimaksudkan ini ialah dari sudut rohani, jasmani dan akalnya.


Keutamaan kepada sudut akademik semata-mata mungkin akan menjadikan dirinya seorang yang pandai tetapi lemah tubuh badannya malah budi pekertinya mungkin akan terjejas. Penekanan kepada bidang sukan pula mungkin akan menguatkan jasmani zahirnya tetapi mungkin akan menjejaskan akademiknya. Ia seumpama menimang tiga biji bola dengan menggunakan dua tangan. Kita hanya punya 24 jam sehari, jadi penerapan ketiga-tiga elemen ini mesti diseimbangkan saban hari.


Ibubapa yang terdidik sahsiah dirinya akan sentiasa prihatin kepada setiap keperluan anak-anaknya. Mereka akan sering memerhatikan setiap pengisian yang memasuki anak-anaknya serta mendidik anak-anaknya dengan pendedahan yang berobjektif serta mendidiknya dengan kaedah yang berstruktur. Mereka akan mula mendedahkan anak-anak kepada perkataan, huruf, bentuk, warna, binatang, kenderaan dan sebagainya semenjak di awal kanak-kanak lagi. Mengajarkan anak-anak mengaji dan solat, pembentukan sikap dan sifat juga pendedahan kepada sukan serta riadah bagi tujuan menguatkan tubuh badan.


Sebaliknya bagi kebanyakan ibubapa mereka mendidik anak-anak dengan cara spontan tanpa mengetahui akan apakah objektif sesuatu pengisian yang memasuki diri anak-anak mereka. Lebih teruk lagi ada ibubapa yang hanya bekerja atau menjalankan perniagaan dengan tujuan mencari duit untuk membiaya anak-anak. Perihal pendidikan anak-anak dilepaskan begitu sahaja.


Kita sering mendengar ungkapan bayi yang lahir adalah umpama hamparan kain putih yang sedia untuk diwarnakan. Namun persoalannya di sini ialah bagaimanakah ibubapa yang hendak mewarnakan anak-anak bila mereka sendiri tak tahu bagaimana untuk mewarna atau tak punya kelengkapan untuk mewarna? Malah diri sendiri berada dalam keadaan celoreng dengan warna-warna contengan yang begitu abstrak dan sukar dimengertikan?


Mungkin dalam hal ini kita sebagai ibubapa perlu membetulkan warna dalam diri ataupun belajar dari mereka yang tahu teknik dan taktik untuk mewarna.


Kesimpulannya dalam hal ini jadilah ibubapa yang peka dan prihatin kepada keperluan pendidikan anak-anak kerana ia sangat penting dalam membentuk anak-anak yang akan membesar dengan sahsiah diri yang jitu. Ibubapa yang cemerlang juga bakal menjadi idola serta tempat rujuk anak-anak bila dia memerlukan jawapan kepada satu-satu persoalan.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi baru kecemerlangan diri!

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.