16 November 2009

Penuntut Ilmu

Kita sebenarnya dilahirkan di muka bumi ini tanpa prinsip menuntut ilmu. Ia terbentuk secara spontan bila kita didedahkan di sekolah, kolej dan universiti. Bagi mereka yang dapat menerapkan prinsip menuntut imu ini maka mereka akan sentiasa peka mencari peluang untuk mendapatkan ilmu dari sesiapa sahaja dari apa juga bentuk medianya. Namun demikian bagi kebanyakan kita ini tidak terjadi. Perihal pencarian ilmu ini terhenti bila setakat selepas sekolah dan selepas itu kita tidak lagi mengambil inisiatif berusaha untuk mencari ilmu. Kalau adapun ia datang secara spontan tanpa kita sedari.


Prinsip ini berbeza kalau dibandingkan dengan orang di negara maju. Ini kerana orang kita membaca 2 buku dalam masa setahun kalau dibandingkan dengan 2 buku dalam masa sebulan bagi orang-orang di negara maju. Buku yang dibeli pula kebanyakan merupakan bahan bacaan ringan seperti novel dan majalah. Seterusnya 10 peratus daripada rakyatnya merupakan penulis kalau dibandingkan tak sampaipun 1 peratus penduduk negara ini yang menulis. Perbelanjaan untuk membeli bahan bacaan juga berada di tahap ayang rendah bagi orang di negara ini. Perbelanjaan pembelian bahan bacaan itu pula tertumpu kepada suratkhabar. Ini jelas menunjukkan kebanyakan kita tak punya prinsip menuntut ilmu di dalam diri.


Ilmu tak akan datang bergolek masuk ke dalam diri kita. Kita bukannya Nabi yang diajar secara terus oleh ALLAH S.W.T dan dimasukkan ilmu yang benar tentang perkara dan peristiwa yang belum terjadi ataupun perkara sejarah yang telah terjadi secara lengkap dan terperinci. Mungkin ada yang beruntung kerana dikurniakan ALLAH S.W.T dengan taufik dan hidayahNya namun bagi kebanyakan kita, kita perlu menuntut ilmu. Baik ilmu dunia mahupun ilmu akhirat.


Dalam Islam bila kita pergi khutbah Jumaat maka seperkara yang tak boleh kita lakukan semasa khutbah ialah bercakap. Kita tidak dibenarkan bercakap dan disarankan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada Khatib yang sedang menyampaikan khutbah tersebut. Ini jelas menunjukkan yang adab penuntut ilmu ialah untuk diam, mendengar dan menumpukan perhatian kepada ilmu yang ingin disampaikan.


Saya sering bertemu dengan orang yang suka bercakap menceritakan tentang dirinya, kebaikannya, perihal keluarganya dan segalanya mengenai dirinya tetapi langsung tak bertanya tentang perihal kita. Mereka yang banyak bercakap sebenarnya mengeluarkan ilmu sedangkan mereka yang suka mendengar pula mencakup ilmu yang disampaikan. Dalam hal ini sebenarnya orang yang banyak bercakap atau orang yang self centred begini merasakan diri mereka pandai dan serba tahu sedangkan ia langsung tidak begitu kerana mereka punya prinsip menyampaikan tetapi tak punya prinsip menuntut ilmu dalam diri. Mereka akan terus-terusan menyampai sedangkan mereka tak punya masa untuk mendengar.


Seterusnya kadangkala bila saya menjalankan / mengikuti program motivasi / ceramah maka saya akan dapat lihat mereka yang duduk di belakang bercakap antara satu sama lain dan tidak memberi penumpuan kepada penyampai di depan. Orang sebegini juga merupakan orang yang tiada prinsip menuntut ilmu dalam diri kerana bagi saya orang yang ingin menuntut ilmu pastinya akan duduk diam, mengambil nota dan menumpukan perhatian kepada apa yang sedang disampaikan.


Mungkin mereka merasakan diri lebih pandai, memandang rendah kepada penyampai kerana penyampainya lebih muda, tidak terkenal, kurang kelayakan atau mungkin juga kerana topik yang disampaikan tidak sesuai dengan diri dan sebagainya. Janganlah sempitkan pemikiran sebegini. Bukalah minda dan berilah tumpuan pasti ada sesuatu yang akan dapat anda pelajari darinya.


Oleh itu bukalah hati dan minda untuk mencari ilmu walau dimana jua baik melalui perantara manusia, alam sekeliling, makhluk dan peristiwa, kitab, buku, majalah, internet dan sebagainya.


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.