19 November 2009

Kisah Bakat Dan Minat




Topik ini sebenarnya bersambung dari topik Adakah Anda Di Tempat Yang Betul yang pernah saya tulis tak lama dahulu.


Untuk pengetahuan ada sidang pembaca yang saya muliakan sebenarnya semenjak kecil lagi saya tak faham akan perbezaan antara bakat dan minat ini. Saya yakin ramai yang tak mengetahuinya jadi disini saya akan menghuraikan tentang isu ini. Kalau dalam dalam topik yang lalu Zainal bertemu dengan apa yang dicarinya dan dia kembali ke tempat sepatutnya. Mungkin bertanam adalah bakatnya semulajadi yang ada dalam dirinya.


Apapun apa yang bakal saya ceritakan ini adalah perihal perjalanan kehidupan saya sendiri sebagai contoh.


Menurut para pengkaji manusia boleh menguasai tujuh jenis bakat semulajadi yang berkemungkinan besar turun ke dalam dirinya dari segi genetik iaitu melalui keturunannya. Contoh yang terbaik bagi merengkan hal ini ialah Tan Sri P. Ramlee. Beliau adalah seorang yang punya pelbagai bakat semulajadi seperti berlakon, menyanyi, mengarah, bermain muzik, mencipta lagu, melawak dan sebagainya.


Pacquiao, seorang peninju Filipina pula mengumpul USD40milllion dari bertinju, menjadi model iklan, berlakon, menyanyi, duta produk dan juga seorang ahli politik.


Masalahnya bakat semulajadi dalam diri ini selalunya ditekan oleh kurikulum sekolah dan faktor persekitaran yang menyebabkan ia tenggelam tidak digilap. Arwah bapa saya adalah seorang yang suka menulis dan dia punya pelbagai catatan di sana sini mengenai kehidupan, puisi, lirik lagu dan sebagainya walaupun dia sebenarnya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan.


Jadi saya secara tak langsung terbentuk menjadi seorang penulis semenjak awal lagi tinggal ia hanyalah dalam bentuk luahan perasaan yang dicatat dalam diari yang disimpan kemas walaupun saya tidak menyedarinya. Bakat itu terpendam dan terendam jauh. Ini kerana di sekolah saya mengambil jurusan perdagangan, kemudian sains, kemudian mekanikal, sebelum menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam bidang Pelaburan. Dalam kursus inilah minat saya untuk menjadi broker saham mula timbul. Timbul kerana mendapat tahu ganjaran bulanan yang bernilai puluhan ribu ringgit yang bakal didapati dengan kerjaya ini.


Maka mulai saat itu fokus saya hanyalah untuk mengejar minat yang saya jadikan cita-cita. Untuk menjadi seorang Broker saham atau lebih dikenali sebagai Remisier. Saya berjaya meneruskan pelajaran dalam jurusan yang sama di Amerika dan kembali dengan segulung ijazah dalam bidang pelaburan saham. Malangnya sekembalinya ke saya tak berjaya mendapat kerja dalam bidang saham tetapi dalam bidang pembankan.


Kemudian bila saya mendapat kerja di syarikat saham meskipun gajinya lebih rendah saya sangat gembira kerana saya kembali dalam langkah untuk menjadi seorang Broker saham. Saya terpaksa menabung modal puluhan ibu ringgit dan mencari sebanyak mana ilmu pembrokeran sebelum akhirnya cita-cita yang dimulakan dengan minat itu akhirnya menjadi kenyataan.


Namun demikian setelah mencapai apa yang dicitakan saya seakan hilang punca untuk mencari arah tuju yang seterusnya. Saban hari menjalani rutin kehidupan yang hampir sama. Lama kelamaan ia mula terasa membosankan. Melihat keadaan ini saya akhirnya mencabar diri saya untuk menulis dan menyiapkan sebuah buku kerana ini pernah merupakan impian diri saya semasa muda dulu. Adakah ia cukup baik untuk diterbitkan atau tidak itu perkara yang kedua. Saya memilih genre motivasi yang begitu dekat dengan hati saya.


Setahun kemudian manuskrip Keluar dari Tempurung buku yang pertama karangan saya siap dan saya menghantarnya kepada Penerbit. Sesuatu yang di luar jangkaan berlaku. Ia diterima, diluluskan dan diterbitkan. Selebihnya adalah satu sejarah. Saya menjadi seorang penulis dan akhirnya saya sedar inilah bakat yang ada dalam diri secara semulajadi. Bakat yang selama ini terpendam akhirnya timbul dan bila digilap ia mula menyinar. Akhirnya bakat ini mengalahkan minat dan saya melakukannya dengan mudah, lancar, penuh bersemangat tanpa sebarang masalah.


Demikianlah cerita saya. Soalan saya kepada anda semua,


“Apakah bakat anda dan apakah pula minat anda. Adakah anda berada di tempat yang betul? ”


Sebuah hadith juga ada menyebut “Setiap orang diciptakan mengikut bakatnya masing-masing.”


Sebagai penutup kepada topik ini saya tinggalkan anda dengan ungkapan Ray Kroc Pengasas McDonalds ini untuk anda fikirkan,


“Jika anda bekerja semata-mata untuk wang, anda tidak akan menjadi kaya kerananya. Tetapi jika anda menyintai pekerjaan yang anda lakukan itu, kejayaan akan menjadi milik anda. ”


Fikir-fikirkanlah..


Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.


Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.


Ikhlas dari,


Faizal Yusup


Email : greng70@yahoo.com
Facebook : Faizal Yusup
Blog :http://faizalyusup.blogspot.com
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

Dipetik dari manuskrip Anda Yang Cemerlang..

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.