TAK SEDAR
- Tak tahu tak tahu
- Tak tahu tahu
- Tak tahu tak tahu
- Tak tahu tahu
SEDAR
- Tahu tak tahu
- Tahu tahu
- Tahu tak tahu
- Tahu tahu
Kita tahu yang kita tahu dan kita tahu yang kita tak tahu berada dalam rangkuman minda kita yang sedar. Persoalan ini menunjukkan yang kita berada dalam rangkuman yang kita sudah tahu sedangkan aspek kita tak tahu yang kita tahu dan tak tahu yang kita tak tahu pula berada dalam rangkuman minda tidak sedar.
Proses ini bermula dari langsung tak tahu kemudiannya dengan pengisian, pengalaman, pendedahan, penyelidikan, penelitian, pembelajaran, penerimaan dan sebagainya kita menjadi tahu.
Kalau dahulu manusia menyangkakan yang bumi ini berbentuk empat segi dan mendatar hinggalah dibuktikan oleh para saintis yang ia sebenarnya berbentuk sfera. Kalau dahulu manusia menyangkakan tiada apa yang terdapat dalam air yang jernih hinggalah penciptaan mikroskop yang menyebabkan manusia tahu yang terdapat banyak mikroorganisme di dalamnya.
Pengetahuan mengenai bumi ini terus-terusan berkembang hingga manusia mendapati yang mereka sebenarnya hidup dalam bumi yang begitu kecil di dalam cekerawala dibandingkan dengan planet-planet lain di alam semesta ini. Begitu jugalah pengetahuan mengenai air yang mana para saintis mendapati ia terbentuk dari kristal-kristal berbentuk segienam atau heksagon. Sekiranya kita berkata perkara yang baik atau berdoa kepada air tersebut maka bentuk kristal ini menjadi lebih cantik dan sebaliknya kalau kita mencarut mengkeji heksegon itu akan pecah dan rosak. Kemudian mereka juga mendapati air zam-zam punya kandungan mineral yang paling baik dan bentuk kristal yang paling cantik.
Manusia akan terus-terusan mengkaji dan apakah penemuan yang seterusnya tidaklah saya ketahui tetapi bagi kebanyakan kita, kita tak perlu jadi saintis untuk menjalankan penyelidikan bertahun-tahun bagi mendapatkan sesuatu fakta untuk disampaikan kepada umum mahupun menjadi pencipta kepada sesuatu teknologi yang baru. Umumnya kita hanya perlu belajar dan meluaskan ilmu pengetahuan dengan pengisian dan maklumat yang telah sedia ada.
Sebagai satu contoh yang lain pula, ada orang yang tak tahu dia tak punya sikap menghargai. Dia tahu apa maksud perkataan menghargai tetapi hakikatnya dia tak tahu yang dia tak tahu menghargai. Orang sebegini umpama peribahasa melayu yang berbunyi melepaskan anjing tersepit. Sudah dilepaskan ia menggigit pula orang yang menolongnya. Orang sebegini mahu dihargai sekiranya dia melakukan kebaikan tetapi tak tahu menghargai orang melakukan kebaikan padanya. Hinggalah pada satu hari terjadi sesuatu yang akhirnya menyedarkannya akan perihal ini.
Seterusnya, mari kita mulakan perbincangan pengisian atau input ini menggunakan analogi seorang pelukis.
TAK TAHU TAK TAHU
Langsung tak tahu dan tak pernah tahu apakah yang dinamakan dengan lukisan abstrak.
TAK TAHU TAHU
Melukis sebuah lukisan abstrak secara suka-suka tapi tak tahu itu adalah lukisan abstrak.
TAHU TAK TAHU
Tahu mengenai lukisan abstrak tapi tak tahu bagaimana untuk melukisnya.
TAHU TAHU
Tahu mengenai lukisan abstrak dan tahu bagaimana untuk melukisnya.
Dalam hal ini ada benda yang langsung kita tak tahu dan tak pernah dengar. Ada pula perkara yang kita tak tahu kita tahu. Oleh itu kita kenalah menjadi insan yang sentiasa terbuka untuk menerima ilmu serta pengetahuan. Kalau kita tak tahu kita akui kita tak tahu lantas kita tanya dan belajar. Perkara yang kita tahu tak tahu contohnya kita tahu mengenai sebuah violin dan kalau kita mempelajari cara bagaimana untuk bermainnya pasti kita akan berada dalam peringkat tahu-tahu. Sekiranya tidak ia akan hanya menjadi input atau pengisian mentah yang yang digunakan sebagai pengetahuan. Ia hanya keluar sekali sekala dalam perbualan seharian.
Kesimpulannya carilah ilmu kerana ilmu tak akan datang bergolek kalau kita tak pergi mencarinya. Kalau kita duduk di dalam sebuah kampung yang jauh dan saban hari bertemu dengan orang yang sama, dalam kelompok yang sama maka tak banyaklah ilmu yang akan dapat kita pertingkatkan dalam diri nanti. Tontonlah televisyen, bacalah majalah dan buku, layarilah internet, berbicaralah dengan orang baru, hadirilah ceramah di masjid dan sebagainya kerana ini semua merupakan media kemasukan ilmu yang baru ke dalam diri.
Fikir-fikirkanlah..
Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kelemahan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.
Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda.
Ikhlas dari,
Faizal Yusup
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.