25 November 2009

Mengenali Sifat Manusia

-->
Mengenali sifat dari sukan Bolasepak

Sebenarnya kita boleh mengenali sifat manusia dari tindak tanduk perbuatan mereka. Di sini saya akan huraikan melalui sukan bolasepak.

Kalau kita lihat dalam perlawanan bolasepak ada bermacam jenis pemain. Pemain bola yang telah lama bermain selalunya akan berpengalaman dan tahu untuk membaca satu-satu perlawanan bolasepak itu. Ini kerana dalam setiap permainan ada rhythm atau irama yang perlu di”rasai” seseorang pemain itu sebelum pasukannya dapat bermain dengan baik.

Mari kita mulakan dari seorang penjaga gol. Seorang penjaga merupakan pertahanan yang terakhir kepada sesebuah pasukan. Penjaga gol selalunya adalah seorang yang boleh menyambut masalah orang lain. Kedudukan mereka itu membolehkan mereka nampak keseluruhan padang bola serta kedudukan pemain. Keadaan ini juga membolehkan mereka mengatur strategi pertahanan dengan mengarahkan rakan pasukannya untuk menjaga pemain lawan. Begitu jugalah dalam kehidupan mereka ini adalah orang yang boleh memandang sesuatu isu itu secara meluas lantas mengatur strategi untuk menangani segala isu yang mendatang.

Seorang pemain pertahanan yang telah lama bermain pasti telah diduga oleh ramai penyerang-penyerang dari pelbagai sudut dan lama kelamaan mereka akan tahu cara bermain dengan baik untuk mempertahankan pintu gol dari dibolosi pihak lawan. Dalam kehidupan mereka ini selalunya seorang yang boleh diharap kerana sifatnya yang suka melindungi. Mereka ini lebih tenang dan bukan jenis yang suka bergerak dan mengambil inisiatif untuk bertindak tetapi lebih suka menunggu sehingga sesuatu itu datang untuk ditangani.

Seterusnya ada pemain yang bermain dengan kreativiti yang rendah dan mereka akan hanya terus-terusan mencari jalan untuk menjaringkan gol. Sifat ini mungkin menunjukkan yang mereka merupakan orang yang hanya bekerja keras untuk menuju matlamat.

Ada pula yang selalunya lebih suka bermain dengan tahap kreativiti yang tinggi. Mengelecek seramai mana yang boleh untuk menunjukkan skil permainan yang tinggi hinggakan kekadang sudah sampai di hadapan gol sekalipun mereka masih tidak mahu menjaringkan gol. Sifat ini sebenarnya menunjukkan sifat orang yang suka berkias, bercerita dan bergosip tetapi tidak mengambil tindakan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan itu. Dalam pada itu mereka merupakan seorang yang pentingkan diri sendiri, menunjuk-nunjuk dan tak punya matlamat hidup yang jelas.

Tak kurang juga pemain tengah yang baik, tahu mengelecek bila perlu dan tahu melorongkan bola kepada rakan sepasukannya untuk menjaringkan gol. Mereka ini dalam kehidupan adalah seorang yang bagus untuk dijadikan pembantu, kalau melakukan kerja mereka boleh melakukannya dengan baik. Mereka juga boleh membantu orang atasannya untuk mencapai matlamat, malangnya mereka juga kurang keyakinan diri untuk melakukan perubahan bagi mencapai matlamat diri sendiri.

Kemudian kita bertemu pula dengan seorang pemain penyerang yang begitu bersemangat dan berusaha bersungguh-sungguh menjaringkan banyak gol. Kadangkala mereka ini sanggup melakukan apa sahaja asal gol itu dapat dijaringkan. Kalaupun peluang mereka kecil dan pada masa yang sama mereka boleh menghantar bola kepada rakan sepasukan yang punya peluang yang yang lebih besar namun mereka tetap akan membolot dan cuba menjaringkan gol tersebut. Ini menunjukkan sifat seorang yang mahu mencapai matlamat tanpa mengira sama ada dia memijak orang lain ataupun tidak. Mereka sanggup memberi rasuah, bermain kotor asal mereka dapat apa yang mereka inginkan.

Dalam pada itu sesekali kita akan dapat bertemu dengan seorang pemain yang versatile dan serba boleh. Dia boleh bermain sebagai penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah mahupun di bahagian menyerang. Kemudian pada masa yang sama dia boleh menjadi kapten merangkap jurulatih yang mengemudi pasukannya. Ini sebenarnya menunjukkan dia adalah merupakan seorang yang versatile dan punya pelbagai kebolehan.

Banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk mengenali serba sedikit sifat dan sikap, prinsip yang seseorang itu pegang contohnya melalui cara berjalan, cara bercakap, tulisan, isi kata-katanya, perbuatan serta tindakannya dan sebagainya. Malah ada juga yang percaya mereka boleh mengenali personaliti dari tarikh lahir, warna pilihan, garisan di tangan dan dahi dan sebagainya.

Seterusnya saya ingin melihatnya dari nada dering telefon seseorang itu. Ada yang senyap kemungkinan menunjukkan orang itu prihatin dan tak mahu mengganggu orang lain atau juga merupakan seorang yang pemalu dan perahsia. Kalau nada deringnya kuat itu mungkin menunjukkan seorang yang berani dan berkeyakinan. Kalau nada deringnya bernasyid maka orangnya suka kepada pengisian ugama, kalau nada deringnya hip hop orangnya mungkin kaki clubbing dan begitu jugalah seterusnya. Semua perkara ini walaupun kecil tetapi cukup untuk “membuka” personaliti anda kepada mereka yang tajam pemerhatiannya.     
Fikir-fikirkanlah..

Sesungguhnya segala kebaikan adalah dari Allah dan segala kelemahan adalah atas kekurangan diri saya sendiri. Kemaafan jualah yang saya pinta.

Bukalah pintu hati, anda pasti akan memahami. Terima kasih meluangkan masa membaca. Harap ia membawa manfaat buat anda. Artikel ini dipetik dari manuskrip buku Anda Yang Cemerlang yang sedang saya tulis.

Ikhlas dari,

Faizal Yusup
Pengkaji Isu Sosial


Facebook : Faizal Yusup
Revolusi Baru Kecemerlangan Diri!

PS - Anda suka blog ini? Tolong saya hebahkan pada semua rakan-rakan anda okay? Ada banyak manfaat untuk semua InsyaAllah. 

Terima kasih…

' style='padding: 0; border: none;'/>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.